Thursday, May 30

Perubahan Positif Waktu Pagi

Pagi tadi, aku bangun awal sikit dari pagi-pagi lain di hari cuti. Tanpa kemas tempat tidur, aku capai tuala di lantai terus jalan masuk tempat mandi. Aku melayani mandi dengan penuh perasaan di awal pagi hari ini. Perasaan aku sungguh cergas dan penuh motivasi. "Mungkin ini titik perubahan positif diri aku", ujar aku dalam hati sambil berdiri melayani air di shower jatuh kena muka.

Selesai mandi aku berdiri depan cermin setting rambut biar sama macam Fizo Omar. Sambil-sambil setting rambut Fizo Omar, aku bercakap seorang.

"Ni kalau pagi-pagi kena nasi lemak sotong memang ngam ni"

Jadi aku tanam tekad  dan start motor. Aku tuju kedai nasi lemak Kak Leha. Kak Leha merupakan anatara legend Nasi Lemak di Tanjong Karang. Jarak perjalanan kedai nasi lemak Kak Leha dari rumah aku tak jauh. Sambil naik motor aku menyanyi lagu Putih-putih melati. Ngam-ngam habis korus pertama, aku sampai kedai Kak Leha. Aku perhati  dari jauh, Kak Leha sedang duduk depan meja bekas-bekas lauk nasi lemak. Aku jalan jumpa Kak Leha.

"Kak..., nasi lemak sotong satu. Nasi lebih, sotong lebih", order aku penuh nafsu teringin nak makan nasi lemak sangat-sangat.

Kak Leha tengok perasaan keinginan aku kepada Nasi Lemak dia memuncak, membuat dia senyum lebar. Sambil terus senyum dia lihat muka aku. Kak Leha letak tangan kat pinggang, terus cakap kepada aku,

"Dik,... ini dah pukul 10.30, habis la dah nasi lemak oi....kuih-kuih ada la tinggal sikit-sikit"

Damn, ujar aku dalam hati.

Sunday, May 26

Lelaki perlu pengemas

Malam semalam, dengan berbaju kemeja petak dan beg galas di belakang, aku berdiri depan pagar rumah. Aku baru sampai pulang dari Miri. Sebelum masuk rumah aku tenung rumah mak aku dalam-dalam. "Masih sama seperti aku tinggalkan dulu", ujar aku sendiri sambil senyum tanda puas.

Aku masuk rumah, salam semua kaum keluarga. Kemudian aku borak-borak pasal sekolah kat kaum keluarga sambil ditemani air pepsi dan beberapa keping biskut mayat. Kami berborak panjang. Selesai borak aku jalan masuk bilik. Aku buka pintu bilik yang berbulan aku tinggalkan.

"Peh...kemas giler.. tak seperti aku tinggalkan dulu", ujar aku gembira.

Aku campak beg dan baju kat lantai, terus pekena tidur dengan tenang sampai esok tengah hari.

Thursday, May 23

Hadiah Hari Guru Part 2

Masa aku tingkatan satu dan dua aku duduk Asrama. Aku menjalani hari-hari asrama dengan perasaan mahu tumbuk senior. Perasaan itu datang hari-hari di asrama. Telah menjadi lumrah turun temurun asrama dulu, budak-budak tingkatan satu dan dua di buli oleh budak senior.

Antara bulian yang feymes diamalkan dikalangan senior sekitar tahun dua ribu satu ke dua ribu dua adalah seperti basuh pakaian sekolah, ambil makanan di dewan dan kemas bilik. Bulian-bulian berbentuk fizikal pula seperti lempang dan berdiri scrambler pula di amalkan jika berlaku kesalahan dilakukan oleh budak-budak junior.

Pada suatu hari waktu balik sekolah.  Aku turun dari bas dan jalan menuju dewan makan. Sambil jalan aku berborak dengan Capang pasal Cikgu Perempuan Matematik baru. Kami berbual rancak pasal kejelitaan cikgu baru.

"Lepas ni aku nak fokus Matematik betul-betul. 

"Aku agak kalau fokus, Cikgu Ayu boleh jatuh cinta kat aku", sambung Capang tadi dengan penuh semangat.

Aku tepuk-tepuk bahu Capang tanda menyokong perubahan positif dia. Susah-sudah nak tengok budak malas berubah ke arah kemajuan.

Sedang berborak rancak pasal Cikgu Ayu, seorang senior badan gemuk-gemuk lalu sebelah. Aku dengan Capang, pandang muka senior tadi sambil senyum tanda ramah mesra. Dengan senyuman tadi, aku terus jalan melepasi senior.

Selang dua tiga saat, suara garau yang kuat kedengaran dari arah belakang.

"Woi, kau berdua tu mari sini!"

Aku dengan Capang toleh ke belakang. Senior tadi buat muka bengis pandang kami berdua. Aku dengan Capang mula panik dalam hati. Tapi muka kekal tenang. Kami berdua jalan menuju arah senior. Aku dengan Capang berdiri betul-betul depan senior.

"Korang tau ape korang dah buat?", suara senior garang maki kami berdua

Aku dan Capang mula blurr, lalu menggeleng kepala tanda tidak tahu.

"Paaanggg", bunyi lempang hinggap muka Capang.

"Paannnggg", bunyi lempang hinggap muka aku.


"Korang apehal jalan sebelah senior tak bagi salam!", ulas senior pendek lalu jalan meninggalkan kami.

Wednesday, May 22

Hadiah Hari Guru part 1

Dulu sekitar tahun dua ribu ke dua ribu tiga aku bersekolah menengah di La Salle Klang. Sekolah ini merupakan sekolah yang banyak memperkenalkan aku dengan kehidupan jalanan.

Awal-awal tingkatan 1 masa masuk asrama, mak bapak aku yang hantar. Masa itu aku bersemanagat mahu masuk asrama. Aku kekal dengan imej bersongkok dan baju butang sampai atas. Masa itu aku gosok baju sampai tegang. Semasa semakan nama pendaftaran Pegawai Pendaftaran lihat aku atas bawah. Riak muka dia penuh yakin untuk aku belajar di tempat mereka.

"pelajar macam ini yang kami cari, muka penuh visi", ujar pegawai pendaftar kepada bapak aku. Bapak aku senyum sikit tanda bangga. Aku masa itu kekal skema dan terima pujian dengan tidak berperasaan.

Selesai pendaftaran aku salam Pegawai Pendaftaran tadi.

Sambil salam aku mengucapkan,

"Alhamdulillah, saya bersyukur bersekolah di sini"


bersambung

Friday, May 10

Pengalaman aku mengundi buat kali pertama.

Sambungan dari kisah suatu pagi pada hari mengundi 2013

* * *

5 jam lepas Abu Dragon kejut pagi tadi, aku pun bangun dari tidur. Aku terus cari jam loceng. Aku jumpa jam loceng jatuh bawah katil. Ak dia malam tadi.

Jam loceng menunjukkan tepat pukul 4.15 petang.

"Cilaka, aku belum mengundi lagi ni"

Dengan mandi yang harus saja, aku terus sarung t-shirt yang tiada logo mana-mana parti. Aku start motor, terus tunggang tuju sekolah tempat aku mengundi. Aku parking motor depan-depan pegawai polis yang sedang berborak pasal parti politik. Sambil parking motor, aku senyum sikit kat diorang.

Aku terus jalan menuju Pegawai SPR yang tukang cek saliran mengundi. Aku berdiri depan Pegawai SPR tersebut sambil hulur IC.

Sambil check nama, Pegawai SPR tadi memulakan bicara.

"Awat hang lambat ni, nasib ada lagi 10 minit lagi sebelum nak close undi"

Dari pertanyaan Pegawai SPR tadi, aku syak dia orang Johor pura-pura cakap utara. Tapi aku tenang. Selepas selesai check nama, aku jawab persoalan Pegawai SPR tadi.

"Mengundi adalah tanggungjawab. Walaupun lewat, yang penting saya menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia"

Pegawai SPR tadi pandang aku dengan muka kagum.

Selesai jawab. Aku simpan IC dalam dompet terus jalan pergi saliran mengundi. Sambil jalan aku cakap sorang-sorang.

"Poyo jugak aku tadi"

hehe.



Monday, May 6

Suatu Pagi Pada Hari Pengundian Pada Tahun 2013



Suatu pagi di hari Ahad seorang remaja berbadan agak gempal menungkah beku pagi menghala ke rumah aku. Dia menungkah pagi dengan motor separa umur kepunyaan bapaknya. Eksos motornya ada kesan kemek-kemek kesan jatuh semalam punca hilang fokus lihat  awek sedang melintas jalan.

Dalam 4 minit remaja itu menungkah sejuk pagi, beliau sampai betul-betul depan pagar rumah aku. Dia terus mematikan motor. Dengan menarik nafas dalam-dalam dia menjerit kuat,

"Assalamualaikum"...."assalamualaikum"


Tiada jawapan keluar dari rumah aku. Sedang remaja tadi membagi salam , aku sedang khusyuk dan memberikan sepenuh fokus kepada tidur. Kaki aku terkangkang, tanda nyenyak.

"hampeh, ini mesti kes terbungkang lagi", maki remaja berbadan agak gempak.

Remaja tadi terus terjah masuk rumah lalu terus jalan ke arah bilik aku. Tanpa ketuk pintu dan bagi salam dia terus masuk gaya samseng. Remaja tadi berdiri betul-betul depan aku. Dia ambil sebiji bantal lalu hentak ke badan aku.',

"pangggg", bunyi bantal melekat di badan aku.

Mimpi Megan Fox aku terpotong. Dengan rasa berat dan mamai, aku cuba membukakan mata melihat perkembangan semasa. Aku nampak bayang-bayang Abu Dragon. Muka dia nampak serius.

" woi, bangunla.. jom kita pergi mengundi, kau ini takda wawasan betullah", marah Abu Dragon.

Dalam mamai-mamai tadi, aku pandang muka Abu Dragon yang serius. Dengan tenang aku membalas,

"relaklah, wawasan untuk 2020 sahaja, ini baru 2013 jangan fikir sangat pasal wawasan"

Selesai. Aku terus pejam mata sambung terbungkang atas katil.


Wednesday, May 1

Jadilah lelaki mithali


Sejak-sejak aku duduk jauh di pendalaman, aku banyak belajar mengenai ilmu kehidupan. Ilmu-ilmu ini datang dari pengalaman seharian aku. Bak kata pepatah Melayu lama, " manakan paku tidak berkarat kalau disimpan didalam air".

Antara banyak-banyak ilmu yang aku jumpa, ada satu yang aku rasa patut dipegang kuat oleh kaum lelaki. Ilmu ini ramai juga ahli-ahli politik sangkal suatu masa dulu. Ia juga pernah menjadi topik utama di stesen Tv 3 dan di radio-radio. Hakikatnya tetap sama. Ilmu ini tetap relevan dan patut dipraktikkan oleh lelaki. Ilmu itu adalah "lelaki jangan pandai masak".

Hal ini biar perempuan urus. Korang jangan ngade-ngade.